Yaya Mooncake Nafi Berkahwin Dengan Suami Orang

Semalam tular dan kecoh di media sosial apabila satu posting Facebook milik Hanna Baa mendakwa Haziqah Nurul Huda Harun, 23, atau lebih dikenali Yaya, Mooncake bercinta dengan suaminya.

Yaya terkenal sebagai pengusaha kuih bakul halal dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan suami Hanna yang juga merupakan sahabat baik mereka.

Menurut Hanna, dia mula mengenali Yaya pada akhir Disember 2018 ketika menghadiri satu kursus perniagaan di Kuala Lumpur.

Menerusi akaun FB Hanna Baa, dia mendakwa Yaya yang dianggap seperti adiknya sendiri bercinta seterusnya berkahwin secara senyap dengan suaminya di Thailand pada 6 Januari lalu.

Ekoran daripada posting Hanna itu, netizen mengecam tindakan Yaya dan memberikan komen-komen negatif yang tidak sepatutnya. Hasil tinjauan kami mendapati kecaman itu berlarutan hingga ke FB perniagaan Mooncake dan Instagram peribadi beliau.

Namun begitu, Harian Metro melaporkan Yaya menafikan yang beliau sudah berkahwin dengan suami Hanna.

Yaya juga tidak mahu mengulas lanjut mengenai fitnah itu dan berharap kebenaran di sebalik semua tohmahan itu akan terungkai segera.

“Terserah kepada netizen jika berterusan ingin menghukum dan mengecam saya kerana fitnah itu. Saya yakin berada di pihak yang benar.

“Cukup sekadar mereka tahu, saya masih bujang dan tidak bercinta dengan sesiapa, jauh sekali berkahwin dengan suami orang.

“Selain perniagaan dijalankan, saya hanya mempunyai ibu dan ayah serta keluarga. Rezeki bukan datang daripada perniagaan, ia daripada Allah,” katanya.

Yaya dipetik berkata dia reda dengan ujian ini dan menganggap semuanya ada hikmah tersendiri.

“Saya reda dengan ujian Allah. Allah ada bersama saya. Insya-Allah, Allah permudahkan segala urusan saya hendaknya.

“Tiada alasan untuk saya berkahwin di Thailand seperti didakwa kerana ayah iaitu wali sah dan ibu sentiasa bersama saya 24 jam. Saya tidak boleh memandu dan jika ke mana-mana mesti bersama ayah.

“Pada 6 Januari 2020 yang didakwa kononnya tarikh perkahwinan saya bersama lelaki itu di Thailand, ia tidak benar kerana pada hari itu saya sekeluarga berada di Kuantan kerana anak saudara dimasukkan ke hospital,” katanya.

Terkini satu posting daripada suami Hanna Baa, Baa Azhar juga menyangkal dakwaan dia telah berkahwin dengan Yaya dan bercerai dengan Hanna.

Mengakui telah mengenali Yaya sebelum ini atas urusan bisnes dan mula menaruh perasaan terhadapnya, namun hasrat untuk memperisterikan Yaya tidak direstui Hanna atas sebab-sebab tertentu. Oleh itu, tiada sebarang ikatan perkahwinan di antara dia dan Yaya seperti yang kecoh semalam.

“Untuk makluman, saya dan juga isteri (Suhana Hamzah) masih sah dalam ikatan sebagai suami dan isteri dan bagi kenyataan berkaitan penceraian kami, itu adalah tidak benar” katanya.

Kami berharap kemelut dan kontroversi ini akan dapat diselesaikan segera dengan secara aman dan baik. Kita semua doakan yang terbaik bagi mereka yang sedang menghadapi ujian ini.

Kongsi Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on telegram
Share on whatsapp