Wanita Ini Kongsi Rahsia Jual Nasi Lemak 200 Bungkus Bermula Jam 4 Pagi, Tak Sampai 3 Jam Dah Habis Licin!

Sedap, murah dan bersih! Memang complete package lah. Inilah resepi untuk penjual makanan yang nak berniaga di Malaysia.

Macam seorang makcik ini dikenali sebagai Rahmah Bujai, 55 yang menjual nasi lemak sedap di Jalan Perkasa 1, Taman Maluri, Kuala Lumpur. Malah, tidak sampai tiga jam, dua tong nasi lemak dan lapan bekas lauk pauknya sudah habis licin. Wow!

Kisah beliau telah tular di media sosial di mana dia mula menjual nasi lemak seawal jam 4 pagi dan habis licin dalam jam 6.30 pagi.

Menurut Harian Metro, Rahmah menyediakan 17 kilogram beras bersama lapan jenis lauk pauk yang dianggarkan mampu terjual 200 bungkus nasi lemak setiap hari.

“Rahsia saya ikhlas semasa masak. Nak tahan niaga lama masak elok-elok biar sedap nanti pelanggan tetap cari. Jangan kedekut bahan. Contohnya, sekarang musim bawang mahal tetapi saya tidak kurangkan tetap jaga kualiti.

“Saya yakin rezeki tidak pernah putus dan jualan sentiasa habis berkat saya menggembirakan hati pelanggan disebabkan tidak pernah berkira dan niat berniaga sambil bersedekah,” katanya.

Rahmah mula menjual nasi lemak ini sejak 25 tahun lalu untuk mencari rezeki dan ditemani oleh saudara lelakinya. Dia merupakan seorang ibu kepada lapan orang anak berusia antara 15 hingga 30 tahun.

Dia turut memberitahu bahawa kebanyakan pelanggannyaa terdiri daripada penduduk setempat, pekerja syif dan penuntut kolej sekitar kawasan itu. Ada pelanggan bertahun-tahun masih setia datang mencari nasi lemak termasuk bekas pelajar kolej kawasan tersebut.

Malah, ada yang sanggup datang dari jauh iaitu dari Puchong, Kajang, Ampang, Damansara, Gombak serta sekitar Lembah Klang.

Seorang pelanggan nasi lemak Rahmah yang dikenali sebagai Steven Foo, 50, menjelaskan bahawa dia merupakan salah seorang daripada ratusan pelanggan Rahmah yang setia beratur seawal 4 pagi untuk membeli nasi lemak itu.

“Susah hendak dapat rasa nasi lemak sesedap ini. Bau wangi nasinya dan rasa santannya dipadankan dengan sambal ikan bilis dan sotong serta ayam rendangnya membuatkan saya tidak pernah jemu,” kata Steven.

Malah, nasi lemaknya ini boleh dimakan oleh dua orang. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh seorang pelanggan setianya, Hasanah Ma’asum, 20.

“Saya menjadi pelanggannya sejak 2017 ketika itu saya belajar di sini. Dia peramah dan sangat tidak berkira dengan kami. Sampai sekarang masih macam dulu selalu beri lauk dan nasi banyak sampai dua orang boleh makan tetapi harga tetap murah tidak masuk akal.

“Saya paling suka sambal bilis dan sambal kerangnya dari dulu sampai sekarang rasanya tidak pernah berubah,” kata Hasanah.

Kongsi Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on telegram
Share on whatsapp