Tanda-Tanda Beroleh Rezeki Yang Berkat

Rezeki Allah itu luas. Rezeki Allah itu tidak mengenal siapa dan Rezeki Allah tidak pernah salah alamat.

Ada orang rezeki dia, harta bertimbun sampai 7 keturunan pun masih boleh menikmati rezeki yang sama.

Ada orang rezeki dia, anak-anak yang mampu menghafaz al Quran.

Ada orang rezeki dia, habis belajar terus kahwin.

Ada orang rezeki dia, masih mempunyai keluarga yang lengkap di sisi.

Ada orang rezeki dia, dikurniakan kesihatan yang baik hatta berumur 90 tahun.

Ada orang rezeki dia, bisnes maju dan terus berkembang.

Sifirnya mudah, Allah telah menkayakan semua orang dengan rezeki yang tersendiri hatta ulat di dalam batu sekalipun mampu bertahan hidup dengan izin Allah. Semua ini sudah tertulis di dalam takdir masing-masing. Namun, ramai yang masih beranggapan bahawa rezeki itu adalah wang semata dan bagi mereka orang kaya rezekinya murah dan lapang manakala orang miskin sebaliknya. Tanggapan mereka jelas jauh tersasar kerana jika mereka benar maka orang yang kaya di atas muka bumi adalah orang yang paling bahagia.

Mari kita renungkan, berapa ramai artis dan orang kenamaan yang dilimpahi harta yang banyak telah mengambil jalan singkat dengan membunuh diri? Kenapa jalan ini yang diambil? Bukankah mereka sudah bahagia dengan rezeki yang dikurniakan?

Nah, sudah jelas bahawa rezeki bukan hanya pada wang semata dan kebahagiaan seseorang itu tidak bersandar kepada kekayaan. Apa yang penting adalah bagaimana kita mencari rezeki dan beroleh berkat pada setiap rezeki yang diberi oleh Sang Pencipta. Tanda-tanda rezeki diberkati adalah:

  1. Setia apa yang kita perolehi itu semuanya kurniaan Allah. Dan keberkatan yang singgah di dalam rezeki tersebut akan menerbitkan rasa sentiasa cukup dan bersyukur. Ingatlah Allah telah berfirman :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

  1. Mudah memberi sedekah dan membayar zakat. Satu lagi petanda rezeki yang kita perolehi itu diberkati adalah kita tidak berkira untuk bersedekah dan mudah membantu orang lain. Allah telah meniupkan rasa yakin ke dalam hati seseorang bahawa setiap rezeki yang datang itu dari Allah dan di setiap rezeki kita terdapat juga rezeki orang lain .
  1. Apabila perilaku dan keadaan keluarga menjadi semakin stabil dan bahagia, maka tidak keterlaluan jika dikatakan rezeki yang diperolehi adalah berkat. Kerana pada kebiasaannya, keluarga yang tidak aman dan anak-anak yang bermasalah adalah berpunca dari sumber rezeki yang tidak berkat. Tambahan pula punca rezeki yang diperolehi itu bercampur hala dan haram. Seisi keluarga pasti akan berasa tidak puasa dan tidak cukup.
  1. Seterusnya, doa mudah dimakbulkan. JIka punca rezeki yang diperolehi itu berasaskan dari sumber yang halal dan ianya diberkati in sha allah setiap permintaan dan doa hambaNYA akan dimakbulkan. Di dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad ada menyatakan bahawa seseorang yang tidak mengambil berat soal halal dan haram terutamanya dalam urusan makanan doanya akan tertolak.

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW bercerita tentang seorang pemuda yang bermusafir jauh di padang pasir hingga menyebabkan rambutnya menjadi kusut-masai dan dipenuhi dengan debu kerana perjalanannya yang jauh itu.

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

“Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh, sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit lalu berdoa: “Wahai Tuhan ku! Wahai Tuhanku!” Padahal, makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin Allah SWT akan memperkenankan doanya?” (Riwayat Muslim)

Setiap apa yang kita perolehi hari ini, semuanya adalah rezeki dari Allah. Maka gunalah nikmat dan rezeki ini ke jalan yang baik.

“Ya Allah kurniakan kami dengan rezeki yang halal lagi baik, dan jadikanlah kami hamba yang sentiasa bersyukur dan merasa cukup atas setiap apa yang dikurniakan”

Kongsi Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on telegram
Share on whatsapp