Rezeki Melimpah Ruah Hanya Kerana Berbakti Kepada Ibu Bapa

Perkataan rezeki berasal daripada perkataan arab “rizq”, yang secara literalnya membawa maksud nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap makhluk ciptaannya. Apabila bercakap tentang rezeki ramai yang beranggapan bahawa ia hadir kerana usaha mereka yang berhempas-pulas membanting tulang bekerja seharian. Ya, apa yang terlintas difikiran mereka adalah betul. Allah telah berfirman dalam Al Quran:

“Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakannya” (Q.S.53:39)

Tetapi mungkin juga mereka lupa bahawa rezeki bukan hanya hadir kerana usaha semata-mata bahkan terdapat banyak lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk menjemput rezeki dengan izin Allah. Antaranya adalah dengan berbakti kepada ibu bapa.

Percayalah berbakti kepada orang tua bukan sekadar wajib bahkan ia merupakan salah satu cara mudah dan berkesan bagi menjemput rezeki dalam kita sedar ataupun tidak. Seseorang yang berbakti kepada ibu bapanya nescaya ALLAH akan memperbanyakkan rezeki dengan kekayaan luar biasa kepadanya.

Rasulullah pernah sabda, “Siapa yang mahu dipanjangkan usianya dan ditambahkan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan menyambung silaturahim.”

Begitu juga dalam laporan Tsauban, Baginda SAW juga bersabda, “Seorang itu tidak memperoleh rezeki kerana dosa yang dilakukannya. Takdir tidak akan tertolak melainkan dengan doa. Tiada yang dapat menambah usia melainkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa.”

Jika difikir dan dihitung apakah kaitan berbakti kepada orang tua dan dimurahkan rezeki? Jawapannya cukup mudah iaitu keberkatan ataupun barokah yang mengalir dari sebuah hati yang bahagia yang mendoakan kita. Setiap pekerjaan atau perlakuan kita yang membahagiakan kedua ibu bapa itu dikira sedekah dan ladang pahala buat kita. Bukan itu sahaja, di situ jugalah akan mengalir sebuah keberkatan yang akan meluaskan lagi rezeki kita.

Kita ambil contoh mudah:

Anak A menghulurkan duit hanya ketika hari raya dan ibu bapanya menyambut dengan rasa gembira dan berterima kasih. Manakala anak B pula menghulurkan duit sebanyak RM400 setiap bulan bagi menampung pembelanjaan orang tuanya di kampung. Sudah pasti pada setiap hujung bulan ibu bapa menantikan duit dari si anak B dengan penuh pengharapan dan rasa gembira. Dan dalam diam mereka akan mendoakan anak tersebut dimurahkan lagi rezeki untuk bulan-bulan seterusnya.

Dua situasi ini jelas menggambarkan hati ibu bapa yang gembira secara automatik akan mendoakan yang terbaik buat anaknya dan barokah dari doa inilah yang akan meluaskan lagi rezeki si anak. Boleh jadi anak yang didoakan ini dipermudahkan urusan kenaikan pangkat atau urusan hariannya berjalan dengan lancar serta kehidupannya sentiasa tenang dan bahagia.

Memetik kata-kata Tuan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri beliau ada mengulas bahawa orang kaya sekalipun apabila dihulur duit pasti akan gembira begitu juga ibu bapa kita. Sebagai anak, ambillah peluang sebaik mungkin untuk berbakti kepada ibu bapa selagi mereka masih bernafas dan hulurlah duit sekadar yang termampu walaupun meraka sudah berpencen. Jangan pula hanya terikat untuk memberi duit setiap hari raya sahaja.

Konklusinya, sentiasa selitkan dalam hati bahawa di setiap rezeki yang Allah beri terdapat juga rezeki orang lain. Berkongsilah rezeki ini lebih-lebih lagi dengan ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk kita. Moga-moga apa yang dikurniakan pada hari ini akan dilipatgandakan di kemudian hari. Jika mampu jadikan amalan ini sebagai komitmen anda dan lihatlah keajaibannya.

Kongsi Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on telegram
Share on whatsapp