Memberi Bukan Kerana Kaya

Seorang wanita keluar daripada sebuah bank setelah mengeluarkan beberapa not RM50 dan mendapati ada makcik tua tersandar lemah pada sudut tepi dinding di luar bank.

Kelihatan di sisinya ada beberapa bungkus keropok ikan beralaskan surat khabar yang telah sedia untuk dijual.

Adakalanya makcik itu terlihat mengelap titik peluh pada dahinya. Sememangnya cuaca panas terik pada hari tersebut. Tiba-tiba terbit perasaan belas kasihan jauh di sudut hati wanita itu tadi.

Wanita tersebut membuka dompetnya lalu mendapati tidak ada duit kecil yang ingin diberikan pada makcik tua tadi. Tatkala itu juga duit yang ada ialah RM50 dan dua keping syiling 20 sen.

‘Takkanlah nak beri 20 sen pula? Sikit sangat rasanya. Nak bagi RM 50 pun rasa seperti besar pula nilainya.’ Gumam wanita itu sendirian. Hatinya sudah bercampur baur dan berbelah bahagi.

Sedang dia asyik memerhatikan makcik tua itu, datang seorang jejaka berumur dalam lingkungan 30an dengan membawa dua gelas air tebu lalu dihulurkan segelas air tersebut berserta sekeping not RM5. Makcik itu nampak sungguh terharu. Dengan izin Allah hilang dahaganya yang tertahan sejak pagi menunggu keropoknya dibeli orang.

Seterusnya jejaka itupun beredar ke arah kereta hijau Serenanya yang diparkir tidak jauh dari situ.

Selepas beberapa minit, ada lagi seorang lelaki muda datang menghulurkan beberapa helai wang RM1 kepada makcik itu.

Terbit rasa terharu di sudut hati wanita tadi yang hanya melihat dari jauh. Kejadian yang terlihat kecil dan mudah namun sebenarnya dapat mengeluarkan tekad dan azam tinggi kepada sesiapa yang melihat supaya kita saling bantu-membantu bagi meringankan beban.

Melihat kepada dua kejadian itu sebentar tadi, wanita ini terinspirasi untuk tetap memberi sekadar yang dia mampu.

Tanpa disedari, kedua-dua jejaka tadi telah mendapat saham pahala apabila ada orang lain yang termotivasi melihat akhlak unggul mereka yang telah memberi.

HAKIKATNYA JIWA KITALAH YANG KAYA

Memberi boleh jadi di dalam bentuk hadiah ataupun sedekah. Kedua-duanya adalah amalan yang mulia. Tidak perlu tunggu untuk menjadi kaya hanya kerana ingin memberi.

Tentu ada dalam kalangan kita yang berniat dan bercita-cita untuk menjadi jutawan dan dengan harta yang ada kita ingin menginfakkannya pada jalan Allah di samping membantu orang-orang yang saling memerlukan.

Di dalam dunia ini, ada insan yang direzekikan menjalani kehidupan mewah dengan harta yang banyak. Beruntunglah jika mereka dapat memanfaatkan dan membelanjakan apa yang ada pada tangan mereka pada jalan yang diredai Allah.

Lalu bagaimana pula dengan kita yang hidup hanya sekadar cukup-cukup makan?

Walhal sebenarnya untuk tetap menjadi ‘tangan yang di atas’, kita tidak perlu tunggu untuk menjadi kaya raya kerana orang yang kaya jiwanya akan tetap memberi walaupun terasa diri ini serba kekurangan.

Hati yang kaya dan sudah merasa cukup tidak akan kedekut untuk berkongsi walau di tangannya hanya ada RM1, walau dia hanya ada sebiji tamar, walaupun yang ada cumalah sebuah senyuman disertakan doa ikhlas ke atas saudaranya yang lain.

Demikianlah. Allah membuka kita seluas-luanya peluang untuk menjana pahala di dunia ini. Tinggal kita sahaja sama ada ingin mengambil peluang tersebut atau mencipta peluang atau yang lebih buruk kita membiarkan peluang yang datang pergi begitu sahaja. Sesungguhnya kita jualah yang rugi.

ADA APA DENGAN 20 SEN?

Mungkin kita tidak pernah tahu, dengan 20 sen yang telah kita beri, ia sebenarnya telah menggenapkan wang yang mereka ada untuk membeli nasi lemak bagi mengalas perut.

Tidak siapa tahu, dengan cuma RM1, sudah ada anak kecil yang dapat menghilangkan dahaganya. Kadang-kadang dengan hanya senyuman ikhlas yang kita pamerkan, rupanya sudah dapat menyembuhkan rasa gundah gulana pada hati banyak orang. Apa jua kebaikan yang kita lakukan, akan ada kesannya yang tidak pernah kita tahu dan nampak.

KITA BERKIRA DENGAN ALLAH, NANTI ALLAH BERKIRA DENGAN KITA

Tetaplah memberi dengan apa yang kita ada. Setiap kebaikan yang kita buat akan ada malaikat pencatatnya. Janji Allah, dengan memberi jualah akan membuat rezeki lebih berkat dan berkembang. Satu yang telah kita keluarkan dijalanNya, 10 yang akan Dia datangkan. Usah berkira untuk menjalankan jual beli dengan Allah, di akhirat nanti kita jua yang bakal mengaut keuntungan.

Pupuklah di dalam hati kita agar tetap berbudi dengan memberi supaya diri tidak lokek dan bakhil kerana inilah akhlak yang dibenci Allah.

Mungkin menjadi kebiasaan bagi sesetengah kita melihat di kaki lima dan di bahu jalan, mereka yang bertungkus lumus mencari rezeki, dengan ada yang hanya menjual tisu 30 sen, menjual kerepek, kekacang dan sebagainya.

Tanya diri sendiri apakah yang harus kita lakukan apabila melihat situasi ini? Adakah kita hanya mampu menyedekahkan pandangan simpati dan terus berlalu begitu sahaja? Alangkah mulianya akhlak sekiranya kita dapat menghulur bantuan walau hanya sedikit. Jika ada kudrat dan kemampuan, maka bantulah mereka yang memerlukan.

Belilah kerepek mereka kerana kita ingin membantu. Sekalipun kita tidak mahu kerepek tersebut, ia boleh pula diberikan kepada rakan-rakan yang menyukainya. Setidak-tidaknya mereka cuba menjual untuk mencari rezeki bukannya mengambil jalan singkat dengan mengemis.

Pemberian kita tidak seberapa. Tetapi ia cukup untuk membahagiakan hari-hari mereka apabila keperluan hidup sudah dapat diringankan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda,

“Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat.”

Tidak semestinya memberi kerana kita kaya, tetapi kita memahami bagaimana perasaan apabila kekurangan sesuatu.

Maka bersedekahlah untuk memupuk kekayaan di dalam jiwa. Jangan hanya fikir mahu kaya dahulu tetapi sedekah dikemudiankan.

Allah membekalkan kita dengan akal yang bijaksana untuk berfikir dan bertindak. Manakala hati di dalam dada pula diguna untuk menilai baik dan buruk. Sementara kudrat dipinjamkan untuk melaksanakan tindakan. Setiap hari kita diberi peluang untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Akhir kata, hayatilah kalam hikmah daripada Tuhan sekelian alam “dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan jalan kebaikan, pasti akan kami hapus kesalahan-kesalahannya dan mereka pasti akan Kami beri balasan yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan”. (Al Ankabut:7)

Kongsi Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on telegram
Share on whatsapp