Bahagianya Dikejar Rezeki

“ Pak Cik, kenapa mahal sangat sayur ni? Diskaun lah sikit. Bukan banyak sangat pun.”

Saya mengangkat wajah memandang situasi yang berlaku disebelah. Lambat-lambat pak cik itu menjawab kepada seorang wanita yang berumur lebih kurang 30 an.

“Tak boleh dah dik. Pak Cik pun tak untung besar berniaga sayur ni” Pak Cik tua itu tersenyum. Serba salah wajahnya. Faham benar situasi ini. Pembeli sudah tentu mahukan harga yang rendah namun penjual juga mencari rezeki.

Dewasa ini, semua barang sudah tidak semurah dahulu. Kos sara hidup meningkat namun ekonomi pula makin merosot. Kalau dahulu air anggur segelas dijual 30 sen, sekarang sudah RM 2.00. Zaman kemerosotan ekonomi yang kita alami hari ini sememangnya bukan zaman yang menggembirakan. Bukan juga zaman yang boleh duduk diam bergoyang kaki. Serba serbi harus dinilai dengan wang ringgit. Ibaratnya, jika tidak berduit, tidak dapatlah seseorang itu untuk terus hidup.

Setiap manusia mesti mendambakan rezeki yang luas, menjadi seorang yang kaya raya dengan harta yang melimpah ruah, hidup mewah dan tidak perlu bimbang lagi dengan masalah kewangan. Bagi mereka yang pernah melalui fasa kejatuhan seperti bankrap pasti tahu betapa peritnya menghadap masalah ini.

Dunia hari ini membuatkan kita terkejar-kejarkan wang ringgit, pangkat dan nama. Segalanya kerana mahu berduit. Bekerja sehingga 24 jam, sibuk sahaja memanjang. Benar, mencari rezeki adalah hal yang mulia bahkan menjadi tanggungjawab kepada ketua keluarga. Namun, alangkah indahnya jika bukan sahaja kita yang mencari rezeki, bahkan rezeki pula yang mengejar kita. Dikejar rezeki? Ya.

Pelaburan Yang Menguntungkan

Antara petua dikejar rezeki adalah dengan memberi atau bersedekah. Eh bukankah kalau kita memberi, maka harta kita akan berkurang? Seolahnya dua tolak satu maka jawapannya adalah satu. Rugi. Tidak menguntungkan!

Logiknya begitu namun, di dalam Islam, matematiknya seperti 2 – 1 = 10. Wah! Menarik bukan formula ini? Semua ini kerana Allah bersifat dengan sifatnya Ar-Rahman.Yang Maha Pemurah. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 245 : “Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (infak & sedekah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak”

Untung sungguh pelaburan seperti ini. Maka, jangan pernah takut untuk memberi, menghulur dan membantu orang yang dalam kesempitan. Disitu ada kunci pembuka pintu rezeki. Hakikatnya apa yang kita berikan adalah sebuah pelaburan. Ia akan bercambah dan berganda serta tidak mustahil kembali juga kepada kita semula. Rezeki bukanlah semata-mata wang ringgit, namun kebahagiaan, kesihatan dan segala macam perkara yang menyenangkan adalah sebuah rezeki.

Menjaga Keberkatan Rezeki

Rezeki sudah dapat tetapi masih juga rasa tidak cukup? Awas! Periksa diri. Jika seseorang faham akan konsep rezeki, dia juga harus menitik beratkan tentang keberkatannya.

Kita bukanlah seorang Nabi yang diberikan mukjizat memperbanyakkan hal yang sedikit seperti yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Makanan yang sepatutnya cukup untuk beberapa orang akhirnya menjadi cukup untuk ratusan orang dalam peristiwa Perang Khandak. Bukankah ianya berlaku kerana sebuah keberkatan? Yang dimaksudkan dengan keberkatan rezeki adalah, yang sedikit terasa cukup. Yang banyak, dapat dikongsikan.

Bagaimana menjaga keberkatan rezeki? Tak lain tak bukan, rezeki tersebut hendaklah datang daripada sumber yang halal dan tidak meragukan. Hal-hal yang meragukan (syubhah) di dalam Islam cenderung kepada haram. Rezeki yang diperoleh juga sebaiknya disalurkan kepada perkara yang baik dan diredhai. Maka, sebolehnya, jagalah sumber rezeki agar rezeki yang kita ada bukan hanya rezeki biasa-biasa tetapi rezeki yang barakah.

Ayuh kita bersungguh berusaha mengejar rezeki dan menjaga aturannya agar rezeki juga mampu untuk mengejar kita kembali.

Kongsi Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on telegram
Share on whatsapp