Allah Perbanyakkan Rezeki Anak Berbudi Kepada Kedua Orang Tuanya

Allah melipat ganda serta meluaskan rezeki kepada anak yang berbudi ataupun berbakti kepada kedua orang tuanya.

Inilah cara Allah membalas akhlak anak-anak kepada orang tuanya kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri ketika menjelaskan persoalan ‘hukum memberi duit kepada ibu bapa yang mendapat duit pencen.’

Lazimnya ibu bapa kita akan menggunakan bahasa yang selalu digunakan bahawa pada mata mereka anak-anak adalah sama saja. Walhal lain hakikatnya, ia tidak pernah sama.

Misalnya anak yang sulung pulang ke kampung sebulan sekali. Selepas itu minta pula nak makan ayam belanda, suami juga jenis yang kuat makan malah anak pun 8 orang semuanya. Mereka balik dari hari jumaat hingga ahad sedangkan perbelanjaan makan minum mereka hampir mencecah RM500. Duit perbelanjaan yang dihulurkan pula cuma RM50.

Itupun mak dan ayah akan cakap anak-anak sama saja bagi mereka, tidak ada yang lebih ataupun kurang. Begitulah apa yang dikongsikan oleh Mufti Wilayah menerusi laman Youtube baru-baru ini.

Katanya lagi, ibu bapa mana yang tidak gembira apabila dihadiahkan dengan wang ringgit? Malahan orang yang sudah sedia ada kaya pun gembira tatkala menerima imbuhan wang. Tidak ada manusia yang tidak sukakan duit, kita semua akan gembira ketika memperolehinya.

Berbeza pula situasinya dengan anak yang tengah. Balik ke kampung setahun dua kali tetapi sekali duit yang dihulurkan berjumlah RM1000. Mak dan ayah gembira dan mereka mendoakan agar anak ini selalu pulang menjengah.

Demikianlah perkongsian Dr Zulkifli. Sebagai anak kita disarankan agar memberi sekadar yang termampu kepada ibu bapa dan ia tidak terhad hanya kepada hari raya sahaja walaupun ibu bapa kita sendiri mempunyai wang pencen.

Dr Zulkifli juga turut menceritakan kisah bagaimana seorang yang miskin mampu menginspirasikan orang kaya supaya bersedekah.

Dikisahkan bahawa zaman dahulu Rasulullah menjalankan kempen bersedekah lalu datang seorang lelaki miskin yang membawa segenggam gandum dan barli untuk disedekahkan.

Dan apabila si kaya melihat kejadian ini, dia turut ingin bersedekah lalu si miskin tadi mendapat pahala kerana dia telah memulakan satu sunnah yang mulia dan baik.

Akhirnya, Dr Zulkifli mengajak kita agar menghayati sabda Rasulullah ‘sesiapa yang berbuat satu sunnah yang baik maka baginya pahala dan pahala itu kekal hingga hari kiamat.’

Kongsi Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on telegram
Share on whatsapp