AIFW 2018 Dibatalkan: Pereka Fesyen Tempatan, Antarabangsa Kesal dan Berang

Tiada ribut dan tiada taufan secara tiba-tiba Minggu Fesyen Islamic Asia (AIFW) 2018 yang dijadualkan berlangsung bermula semalam sehingga esok di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dibatalkan oleh penganjur.

Tanpa memaklumkan dengan lebih awal kepada pempamer dan pereka fesyen terlibat, penganjur minggu fesyen berkenaan hanya bertindak meletakkan notis pembatalan di saat-saat akhir semalam di Matrade.

Sikap tidak profesional penganjur AIFW 2018 membuatkan ramai pihak yang terlibat kesal dan berang kerana ini bukan pertama kali program tersebut dibatalkan.

Sebelum ini pada Mac lalu program yang sama dibatalkan oleh pengajur berkenaan disebabkan masalah tajaan dan menunda minggu fesyen tersebut ke bulan ini.

Difahamkan sebanyak 38 pempamer dan pereka fesyen tempatan dan antarabangsa dijadualkan terlibat dalam program berkenaan.

Antara pereka fesyen tempatan yang turut terkena tempias pembatalan AIFW 2018 ialah pengasas jenama Hanallula, Husna Mustaffa.

Menerusi luahan dalam laman instagramnya, beliau menggesa supaya penganjur AIFW 2018 bersikap telus dan memberitahu pihak yang terlibat jika mengalami masalah.

“Pandangan secara peribadi. Penganjur perlu telus dan bagi tahu kami jika ada masalah.

“Tidak ada sebarang notis daripada pihak penganjur sehingga kami datang malam semalam untuk opening event,” luahnya.

Tambah Husna lagi, beliau juga percaya insiden tersebut sedikit sebanyak akan mencalarkan nama Malaysia kerana program berkenaan turut melibatkan penyertaan pereka fesyen dari luar negara.

Sementara itu, pereka fesyen dari Afrika Selatan, Tasneem Bulbulina berasa sangat kesal dan seolah-olah dipermainkan oleh penganjur AIFW 2018.

Ini kerana katanya, beliau terpaksa menghadapi insiden yang sama sebanyak dua kali selepas program yang sama dibatalkan pada Mac lalu.

“Mac lalu saya sepatutnya mempamerkan rekaan di AIFW 2018, namun diberitahu acara terpaksa ditangguh berikutan masalah tajaan. Ketika itu saya sudah terkandas selama seminggu di sini. Malu pada rakan-rakan kerana tidak dapat berada di pentas sedangkan saya begitu teruja berkongsi di media sosial.

“Kali ini saya dipujuk untuk kembali ke sini. Saya bawa anak yang masih bersekolah dan suami. Namun ternyata insiden lebih teruk berlaku,” katanya yang pernah terlibat dalam AIFW 2017 di KLCC.

Sementara itu, tinjauan di laman-laman sosial rasmi AIFW 2018 sama ada menerusi laman sesawang, Facebook atau instagramnya masih belum ada sebarang penjelasan berhubung pembatalan tersebut oleh pihak penganjur.

Kongsi Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on telegram
Share on whatsapp